Pages

September 17, 2012

MERENTAS EMPAT TAHUN LAGI

Kini hampir 4 tahun berlalu sejak kita Batch 23 meninggalkan SERATAS tercinta dahulu. Macam-macam perkara dah berlaku, macam-macam benda dah berubah.

Kebanyakan kita masih lagi belajar di institut masing-masing, segelintir yang lain pula telah pun bekerja, malah ada juga antara kita yang sudah berkahwin, atau sekurang-kurangnya hanya beberapa langkah sahaja lagi untuk berumahtangga. Tak dinafikan juga ramai yang dah semakin gemuk, semakin boroi, semakin hensem, semakin cantik dan semakin comel. Sepanjang empat tahun yang berlalu ini setiap daripada kita sebenarnya sedang mencipta sejarah hidup masing-masing.


Kita takkan dapat meramal apa yang bakal berlaku dalam empat tahun lagi. Ada antara kita yang ketika empat tahun dulu memang jarang bertegur sapa, tetapi hari ini mereka semakin rapat semakin erat. Empat tahun akan datang, entah bagaimanalah pula kan.

Sepanjang empat tahun ini, jarak sememangnya memainkan peranan penting dalam perhubungan kita. Pada suatu sudut, jarak yang jauh sememangnya menjauhkan perhubungan kita. Pada sudut lain pula, jarak yang jauh ini pula sebenarnya pengerat hubungan secara tersirat. Saya tak tahu apa yang orang lain rasa, tapi apa yang saya rasakan ini bukanlah suatu nukilan kata semata-mata, sebaliknya ia terbit dari hati.

Hakikatnya manusia itu saling memerlukan. Macam yang saya kata, kita takkan dapat ramal apa yang bakal berlaku dalam empat tahun lagi. Pelbagai kemungkinan yang boleh terjadi. Tapi apa yang pasti, setiap dari kita semua ‘takkan dapat lari’ antara satu sama lain. Ya, takkan dapat lari.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalinkan hubungan tali silaturahim." (Hadis riwayat al-Bukhari)
InsyaAllah kita panjang umur, kita mampu hidup sampai tahun 2016. Ketika itu, insyaAllah masing-masing sudah bekerja dan berkerjaya. Ada yang sudah jadi jurutera, ada yang bertugas sebagai doctor, sebagai peguam, malah sebagai ahli saintis! Manakala yang lain pula ada yang sudah punya syarikat perniagaan sendiri, sesetengah dari kita begitu terkenal sebagai eksekutif dan perunding professional dalam bidang dakwah, siaran hiburan, dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, semuanya sudah berjaya dengan jayanya.


Namun setiap manusia pasti ada batas dan limitnya. Kita mungkin hebat dalam karier kita, tapi dalam sudut yang lain kita tersangatlah lemah dan daif. Ketika itu lah kita perlukan bantuan rakan-rakan lain untuk menampung kelemahan itu.

Sebagai contoh, saya sebagai senior engineer di Petronas (insyaAllah), apabila saya atau keluarga saya sakit, saya tidak dapat menggunakan keupayaan saya dalam kejuruteraan untuk merawat diri saya atau keluarga saya. Nak tak nak, saya perlukan bantuan pakar, seorang doktor. Dan ketika itu lah, (mana tahu) doktor yang boleh merawat saya ialah Dr Luqman Hakim, ataupun Dr Raja Sauqi, ataupun Dr Bone. Begitu juga mereka, akan ada ketikanya mereka juga memerlukan sesuatu di luar kemampuan kedoktoran mereka, dan (jika diizinkan Allah) kita rakan-rakan yang lain ini lah yang akan bekerjasama membantu mereka.

Inilah yang saya maksudkan. Manusia hidup sememangnya dalam keadaan saling memerlukan, saling melengkapi antara satu sama lain. Hari ini mungkin kita langsung tak hiraukan seseorang rakan kita kerana kita tidak nampak kepentingan dia dalam hidup kita sekarang. Tapi siapa tahu, suatu hari nanti, (jika diizinkan Allah) dia lah orangnya yang akan memainkan peranan besar dalam hidup kita empat tahun akan datang. Wallahualam. Sesungguhnya hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Oleh itu pesan saya, sama-samalah kita menjaga perhubungan antara kita yang telah terbina sejak lapan tahun lalu. Jaga elok-elok, masing-masing cuba eratkan jika ada peluang. Gathering, reunion, jamuan, dan sebagainya, semua itu elok untuk memastikan tali persahabatan kita tidak putus atau pudar ditelan masa.

Tapi jangan pula kita menjaga hubungan ini hanya kerana mengharapkan sesuatu kebaikan darinya semata-mata, kerana seperti kata hikmah; sahabat yang baik ialah sahabat yang sentiasa ingin memanjangkan hubungan persaudaraan tanpa mengejar(mengharap) sebarang kebaikan daripada sahabatnya yang lain.

Jagalah hubungan kita ini ikhlas kerana Allah, kerana Dia telah pun berfirman;
"Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (Surah an-Nisaa', ayat 1)
Sampai sini dahulu nukilan daripada saya. Terima kasih kerana sudi membaca. Maaflah kalau terlalu skema, sebenarnya cuma nak bangkitkan feeling saja. Haha. Apa pun saya harap kita semua dapat menghadam mesej yang cuba saya sampaikan ini. Semoga ukhuwwah yang dibina terus terjalin dengan erat dan sejati.


"If SERATAS brought us together, it doesn’t mean only SERATAS can make our brotherhood forever. No matter where we are, what are we doing, do support each other. Because brothers are always like that." (Anonymous, 2012)

0 , 023 legendary comments?:

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com

Post a Comment